November 20, 2003

Balik Kampung

Hari ini PokNeng mula bercuti raya... 2 minggu beb..beraya sakan...

Tahun ini sepatutnya beraya di Pahang, tetapi atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan beraya di Klang.

November 19, 2003

UPSR...5A...Tahniah Alang!

Hari ini keputusan UPSR Alang diumumkan. Alang berada di rumah Pak Tua, Klang ketika ini. Jadi PokNeng yang akan mengambil keputusannya di sekolah nanti. Mek tak mahu pergi walaupun dia cuti hari ini. Banyak kerja yang nak di buat katanya...menjahit langsir, mengemas barang-barang yang nak dibawa balik kampung dan sebagainya. Mungkin juga Mek gemuruh....kot.

Alhamdulillah, berkat kerja keras, asuhan guru-guru dan doa kami sekeluarga, Alang antara 31 pelajar di sekolah beliau mendapat 5A. Murid-murid yang berjaya dipanggil oleh Guru Besar ke bilik beliau...untuk di ucapkan tahniah dan diberi kata semangat.

Selepas mendapat salinan keputusan peperiksaan dan juga sijil berhenti sekolah, Pok Neng bergegas membuat salinan fotostat sijil kelahiran dan sijil keputusan peperiksaan. Kemudian memandu ke bandar untuk ke pejabat MARA bagi mendapatkan borang kemasukan ke MRSM.

November 16, 2003

Lawatan PM ke Terengganu

Petang semalam, PokNeng dan rakan-rakan sepejabat telah diarahkan untuk berada di Lapangan Terbang Sultan Mahmud untuk menyambut ketibaan PM yang baru Dato' Seri Abdullah Badawi yang akan membuat lawatan ke Negeri Terengganu Darul Iman.



Ini wajah PM baru yang sempat dirakamkan beberapa ketika sebelum kami berjabat tangan.

Teringat PokNeng sewaktu kecil dahulu, mungkin dalam darjah 3-4, kami, murid-murid sekolah diminta beratur sepanjang jalan masuk ke tanah rancangan LKTP (atau sekarang di kenali sebagai FELDA) untuk mengibarkan bendera kerana PM ketika itu Allahyarham Tun Hj Abdul Razak membuat lawatan kesana.

November 07, 2003

Balik Kampung

PokNeng ambil cuti seminggu untuk balik kampung. Bertolak jam 7 pagi. Kali ini ikut "shortcut". Dari rumah, kami ikut jalan Jerangau-Jabor. Kira-kira 34 km dari Kuantan, belok ke kanan mengikut jalan Felda Bukit Goh dan akhirnya keluar dekat Kem Batu 9, Kuantan.

Alhamdulillah jam 2 petang kami sekeluarga telah sampai ke Klang.

November 06, 2003

CUTI SEKOLAH BERMULA...

Bergegas ke KB untuk menjemput Kak Long dari sekolah kerana cuti sekolah hujung tahun telah bermula. Bertolak jam 12.30. Tiba di KB jam 2.30 petang. Kemudian menemani Mek bershopping. Seterusnya jam 3.00 terus ke sekolah Kak Long. Banyak barang-barang nak dibawa pulang termasuklah buku-buku sekolah. Elok juga di bawa balik kerana tahun depan Angah pula naik ke Tingkatan 4.

November 02, 2003

Innalillahhi wainna lillahirajiun...

Jumaat 31 October

4.45 pagi waktu terbangun dari tidur untuk bersahur.... terima SMS dari rakan sekerja " daughter of En AN passed away 11.45 pm at HKT. Going to KL for burial".

Lantas PokNeng menelefon En AN. Dia yang dalam perjalanan ke KL mengesahkan berita tersebut. Dijangkakan sampai ke KL jam 10.30 pagi. Semoga beliau tabah menerima dugaan dari Allah di bulan mulia ini.

PokNeng dan seorang rakan berpakat untuk ke KL untuk menziarahi beliau. Jam 8 pagi kami bertolak dengan Perdana pejabat. Tiba di KL jam 2.30 ptg sebaik sahaja jenazah di bawa keluar dari perkarangan masjid selepas di mandi dan di sembahyangkan di sana.

Al-Fatihah untuk arwah.

October 31, 2003

Dah Lama Daahh..

Sebutan tersebut telah menjadi sebutan ramai ekoran iklan rancangan untuk PM ke 4 yang akan bersara. Ya daah lama dah...22 tahun...satu tempoh yang begitu lama. 1981...PokNeng baru menjejakkan kaki ke menara gading. Kawan-kawan semasa di universiti kini bertaburan di setiap pelusuk bumi. Yang terkini, dapat tahu seorang rakan telah menjadi professor di Stanford University. Rakan yang dulunya bujang...kini telah berkeluarga dan ada yang mempunyai 8 orang cahaya mata...alhamdulilah.

Ingin juga mengucapkan "Selamat Bersara" kepada PM ke 4 Tun Dr Mahathir yang telah banyak menaburkan bakti kepada warga Malaysia. Dan juga ucapan "Tahniah dan Selamat Berkhidmat" untuk Dato' Seri Abdullah Badawi.

October 29, 2003

Solat Taraweh
Bersolat Taraweh bersama angah, alang dan acik di surau yang berdekatan di taman tempat kediaman kami. Hujan turun dengan lebat. Tidak seperti tahun-tahun lalu, tahun ini dibuat 8 rakaat sahaja dengan diimamkan oleh seorang anak muda yang bersuara lunak. Difahamkan seorang hafiz.

October 27, 2003

Puasa...
Hari ini masuk hari kedua umat Islam di Malaysia menyambut puasa. Semalam berbuka keseorangan di bilik hotel. Pok Neng outstation kali ini di KL. Berbukakan nasi kerabu dan juga lee chikang panas. Korma? terlupa nak beli.
Alhamdulillah, nampaknya aktiviti makan-makan di KLCC tidak serancak bulan-bulan lain. Walaupun begitu pelanggan nampaknya dari non-Muslim tetap ada.

October 18, 2003

Akupuntur
Rasa kebas-kebas di tangan, pipi dan kaki kiri ku telah beransur reda. Mungkin selepas 3 hari aku berulang ke klinik untuk mendapatkan rawatan akupuntur. Alhamdulillah.
Beberapa jarum halus di tusukkan ke beberapa bahagian muka, tangan dan juga kaki. Setiap kali rawatan mengambil masa setengah jam.

October 14, 2003

Kebas2 Badan

2-3 hari ni terasa sesuatu yang tak kena dengan tangan kiri. Rasa kebas yang sekejap2 datang dan pergi. Pipi kiri juga begitu. Lepas tu turun ke kaki kiri pula. Pergi ke klinik pertama, doktor memeriksa tekanan darah - OK. Ambil setitik darah untuk menguji kandungan gula - pun OK katanya. Beliau meminta pokneng mengenggam tangan beliau dengan kuat. Kekuatan tangan OK. Tapi kenapa terasa kebas2 yek. Dia pun pelik. Mungkin TIA katanya. So untuk confirm, beliau mencadangkan untuk bertemu doktor pakar di GH. Beliau akan buatkan appoinment. Keesokan harinya pihak klinik memberi tahu yang appointment akan di buat pada 17 Dec 2003. Oooh lama nya kena tunggu.

October 07, 2003

Selamat Menempuh PMR untuk Angah.

PMR mula hari Isnin 6 October lepas. Moga beroleh kejayaan yang cemerlang.

October 02, 2003

Selamat Ulangtahun Kelahiran ke 6 Untuk Acik..

September 28, 2003

Semalam di Kota Bharu

Bermalam di Kota Bharu selepas menghantar Mek ke tempat berkursus. Mek akan berada di Kota Bharu selama 5 hari. Menginap di Hotel New Pacific Hotel. Tak berapa jauh dari pusat bandar. Acik juga turut ikut. Jadi tinggal Angah dan Alang berdua di rumah. Kali pertama mereka berdua bermalam tanpa PokNeng dan Mek di rumah. InsyaAllah selamat semuanya. Jam 10 malam call Angah bertanyakan khabar dan mempastikan semua pintu telah dikunci.

PokNeng ambil unrecorded leave kerana telah bertugas pada Hari Jumaat lepas. Sebelum balik ke KT, Acik mengajak PokNeng melawat Muzium. Bepusing beberapa kali bulatan jam untuk mencari tempat parking, nampaknya agak payah mendapatkannya. Akhirnya dapat meletakkan kereta berdekatan dengan Sekolah Rendah Padang Garung.

Di Muzium Negeri Kelantan ketika ini, terdapat pameran Buruh Paksa sewaktu Jepun dahulu. Setelah menghabiskan masa hampir satu jam, kami keluar dan membeli beberapa naskhah buku yang diterbitkan oleh pihak Muzium, termasuklah buku Buruh Paksa, Warisan Kelantan IX dan IX (Monograf).

September 22, 2003

Seminggu di Metropolitan Kuala Lumpur

Semalam bermula musafir PokNeng ke KL. Ada tugasan rasmi yang perlu diuruskan sepanjang minngu ini.

Makan malam di restoran baru yang di bina di Jalan B*njai dekat dengan hotel penginapan. Harga makanannya agak mahal. Rasanya lebih murah makan di Suria Food Court.

September 14, 2003

"Ayah... doakan kejayaan Muhammad...." Begitu pinta Alang ketika mencium tangan PokNeng awal pagi ini.
Hari ini hari pertama peperiksaan UPSR. InsyaAllah ayah doakan kejayaan anak ayah.

September 08, 2003

Bersedia Untuk Projek

Hari ini dapat notebook baru - Acer TravelMate 800 yang dipinjamkan syarikat untuk digunakan bagi membantu kerja-kerja projek yang dijangka akan berakhir hujung tahun ini.

Kerja-kerja pembacaan untuk Literature Review PhD berjalan dengan agak perlahan. Cadangnya hujung bulan ini berjumpa dengan DAR - supervisor. Slowly but surely.

Kak Long balik bercuti di rumah. Sibuk dengan assignment. Nampaknya cuti sekolah kali ini tak kemana-mana membawa anak-anak makan angin. Sebabnya mudah - Angah dan Acik akan menghadapi peperiksaan PMR dan UPSR tak lama lagi. Mungkin cuti hujung tahun nanti boleh jalan makan angin. Tambahan pulak PokNeng agak sibuk dengan kerja-kerja pejabat.

August 31, 2003

46 Tahun Kemerdekaan...



Sepanjang perjalanan dari rumah ke bandar KT, PokNeng kira ada sepuluh helai bendera Malaysia yang dilekatkan di badan kereta berciciran di jalanraya. Semangat patriotik pemilik kenderaan mendorong mereka membeli bendera tersebut yang harganya kalau kat M*ydin hanya RM1.70 atau mungkin juga mereka dapat percuma dari pihak-pihak yang bermurah hati. Namun, sedih juga bila melihat bendera tersebut digilis oleh kenderaan yang lalu-lalang dan akhirnya menjadi sampah yang mengotorkan jalan. Siapa yang harus disalahkan...aaah mungkin gam yang digunakan tidak cukup kuat atau si pemandu membawa kereta begitu laju...

August 27, 2003

Happy Birthday ayah....

Itulah antara lain ucapan yang PokNeng terima dari Kak Long pagi ini.
Ya...hari ini genap lagi satu tahun berada di usia 40 an. 10 an di ambang sekolah rendah...20 an di ambang universiti...30 an dan 40 an di alam pekerjaan dan keluarga. Berada di usia ini dirasakan seolah-olah berada di antara dua dunia...muda dan tua. Panggilan "Pakcik" telah mula diterima.

Pencapaian untuk tahun ini agak memberangsangkan juga. Kami berjaya membina sebuah rumah 4 bilik di atas tanah pesaka di Klang sebagai memenuhi keinginan kami agar PakTua dapat menikmati kehidupan di rumah yang lebih selesa. Alhamdulillah. Di rumah lama, beliau perlu turun naik tangga untuk ke dapur dan ke bilik air. Dengan usia yang menjangkau hampir 80 tahun, tentu tahap kekuatan fizikal beliau tidak begitu mengizinkan. Jadi mudah-mudahan dengan bilik baru beliau yang berrsambung dengan bilik air, dapat memudahkan semua itu.

Tatkala telah menjadi ayah, baru PokNeng sedar bahawa tiada apa yang diinginkan oleh ibu-bapa dari anaknya, melainkan kasih-sayang dan ingatan yang berterusan.

Terima kasih Kak Long atas ingatan. Ayah doakan agar Kak Long sentiasa dirahmati Allah dan diberikan kekuatanNya untuk menghadapi kehidupan sementara di dunia ini dan diberi kesihatan fizikal dan mental untuk meneruskan tugas sebagai seoarang pelajar. Amiiin.

August 10, 2003

E-Learning in Teaching and Learning

" E-Learning in Teaching and Learning" is the topic of my presentation this week at one of Teacher Training College Education expo.