April 05, 2003

Aku ...Anak Peneroka FELDA...


Cuti hujung minggu digunakan untuk balik ke kampung. Menziarahi ayah dan juga pusara ibunda.
Ya hampir panjang juga tempoh tak balik kampung..alasan biasa...sibuk dengan kerja.
Seperti biasa ayah seronok dengan cucu-cucunya. Berkesempatan juga melawat ladang sawit yang telah ditanam semula. Pokok-pokok telah mula mengeluarkan hasil.

Bila berada ditengah ladang, terimbau kenangan lalu....waktu kecil-kecil dahulu sewaktu berumur 9-12 tahun. Yang pastinya bila masa hujung mingggu ataupun musim cuti sekolah PokNeng akan turun ke ladang membantu ayah. Dengan menaiki motosikal sambil mengandar sabit pemotong sawit, kami akan melalui jalan ladang yang tak bertar merentasi kawasan perladangan sawit yang begitu luas dan menghijau. Sesekali perjalanan kami di ganggu oleh ayam hutan yang berterbangan ketakutan oleh kehadiran bunyi motosikal yang kami naiki.

Selalunya ayah akan menyambung sabit dengan galah besi. Sewaktu itu, pokok sawit sudah mempunyai ketinngian hampir 12 kaki. Ayah akan mengait buah sawit dengan sabit. Selepas buah sawit boleh di potong, pelepahnya yang menyangga buah tadi pula di potong. Pelepah-pelepah tersebut perlu disusun diruang antara baris pokok sawit. Tugas PokNeng...mengangkat tandan sawit yang telah jatuh ke dalam kereta sorong dan membawanya ke tepi jalan. Sekiranya pokok yang berada di kawasan berpaya dan berbukit. Keadaannya agak berbeza kerana buah yang dipotong akan jatuh bergolek dan jatuh ke dalam paya. Untuk memungut buah tandan tersebut, ia perlu dicucuk dengan menggunakan besi yang tajam di hujungnya untuk mengangkat buah tersebut. Besi tersebut juga digunakan untuk mengangkat buah masuk ke lori untuk dihantar ke kilang.

Disamping tandan sawit, ada juga buah-buah sawit yang terlerai jatuh di pangkal pokok. Ada sekali tu, dok asyik mengutip buah lerai mengelilingi pokok, apabila bangun, mata jadi berpinar dan tak tahu berada kat mana masa tu. Hilang arah. Apa lagi menjeritlah memanggil ayah....tersenyum ketika mengingat saat itu. Kalau PokNeng datang dengan adik ...tugas mengutip buah lerai..diserahkan padanya...cuma dia perlu masukkan ke dalam beg pastik yang selalunya guni baja yang telah tidak digunakan lagi. Pok Neng akan mengutip tandan-tandan sawit yang bertaburan di sepanjang baris pokok. Satu tandan tu bukannya ringan..sekurang-kurangnya 10 kilo. Huhh...berat bagi kanak-kanak berusia 9-12 tahun mengangkatnya.

Kerja-kerja yang berat inilah yang menyemarakkan semangat untuk belajar bersungguh-sungguh. Tak mahu selamanya berkerja di ladang. Perlu mengubah nasib untuk mendapat kerja lebih baik.

Kini PokNeng telah berkeluarga dan berkerja. Ayah pula nampaknya tidak lagi berdaya menguruskan ladang sendirian. Ladang pun telah di tanam semula. Kerja-kerja memotong buah di upahkan orang untuk mengerjakannya. Tak ada seorang pun adik-beradik yang berminat untuk mewarisi kerja-kerja di ladang. Apakah mungkin aku selaku anak yang tua perlu menyambung tugas tersebut.?

No comments: