May 11, 2003

Kasih Ibu Membawa Ke Syurga....

Mak dah meninggal dunia 3 tahun lalu.
"Ya Allah! Ampunilah aku dan kedua ibu bapaku, rahmatilah keduanya sebagaimana mereka telah memeliharaku di masa kecilku."]

Bila meningatkan arwah emak, aku terkenang bagaimana ketika aku dibawa menemani beliau menoreh getah. Aku masih belum bersekolah lagi ...mungkin dalam umur 6 tahun. Dari rumah ketika itu (dekat dengan MRSM Jasin sekarang ini) ke ladang getah yang terletak di Simpang Merlimau, mengambil masa kira-kira setengah jam perjalanan. Dalam samar-samar waktu Subuh kami dua beranak merentas suasana sejuk ketika itu. Masih teringat kicauan burung merbah mengerumuni pokok jambu mawar yang terdapat dekat dengan ladang tersebut. Tugas aku hanya mengikut emak aja.

Lepas mengangkat susu getah, susu getah akan di bawah ke tempat membeku dan memesin getah yang terletak dekat dengan rumah kami. Susu getah akan di masukkan ke dalam takung berbentuk segiempat bujur dan kemudiannya dimasukkan cuka getah. Kemudia ia dibiarkan sehingga beku. Apabila telah beku, ia akan dikeluarkan dari takung tersebut untuk di tekan-tekan sehingga nipis kemudian akan dimasukkan ke dalam Mesin Getah yang berbentuk seperti mesin pemerah tebu sekarang ni. Mesin Getah ini ada dua jenis - Besi Pengelek yang licin dan satu lagi Besi Pengelek yang bergaris menyerong. Setelah di gelek pada mesin yang licin sehingga mendapat ketebalan yang di kehendaki, barulah kepingan getah itu akan di masukkan ke Mesin Pengelek yang bergaris tadi menghasilkan kepingan getah yang berbunga dan juga di gelekkan juga kepingan yang mempunyai nombor.

Setelah itu, kepingan getah itu akan di jemur. Begitu juga dengan getah sekerap yang dipungut dari mangkuk susu getah. Biasanya getah sekerap ini mempunyai bau yang unik. Hanya orang-orang yang berpengalaman berkerja dalam industri ini sahaja yang tahu menilai aroma tersebut.

Begitulah kehidupan aku dan emak sehinggalah aku masuk ke sekolah. Bila aku masuk sekolah, aku menemani emak hanya ketika cuti sekolah sahaja.

Satu peristiwa yang tak dapat aku lupakan adalah ketika aku membantu mengangkat susu getah.Itu ketika aku dah besar sikit dan mungkin dah boleh diharap. Aku terjatuh akibat tersadung akar pokok getah. Baldi yang aku bawa yang berisi susu getah habis tumpah dan mengenai rambut aku.....MAAAAKK... TOLLLOOONG MMMAAAK....jerit aku sekuat hati. Dah lah sakit jatuh tersembam...susu getah pula memenuhi rambut ku. Mak datang dengan segera dan membawa aku segera ke anak air yang berdekatan dan membasih rambutku dengan segera. Kalau lambat, susu getah akan membeku dan amat sukar untuk dibuang...alamatnya kena jadi KOJAK lah....






No comments: